DR. M. HUSNAN LUBIS.[1]
UNIVERSITAS SUMATERA UTARA

Abstrak[2]

Ayat-ayat dalam bahasa Arab, sama seperti dalam bahasa-bahasa lain; iaitu, ayat yang terdiri daripada ayat nominal dan ayat verbal. Ayat-ayat nominal dalam bahasa Arab, memunculkan makna yang berbeza berbanding dengan ayat verbal. Ayat nominal mempunyai nilai kekuatan erti atau makna tetap dan muktamad. Manakala nilai erti atau makna daripada ayat verbat tidak tetap dan tidak kuat. Al-Qur`an yang memiliki susunan ayat bahasa yang paling sempurna, mengandungi sejumlah rahsia besar. Tulisan ini bertujuan mengkaji salah satu daripada rahsia tersebut. Iaitu, membincangkan tentang rahsia dan fungsi daripada satu ayat nominal yang terdapat dalam surah al-Fatihah ayat ke- 4.\
1. Pendahuluan.
Al-Qur’an ialah satu kitab yang telah diturunkan oleh Allah Swt. sebagai sumber ajaran dan panduan bagi orang-orang Islam. Ia juga sebagai salah satu mukjizat yang paling besar bagi Nabi Muhammad Saw. yang telah mencabar kewibawaan penggubah-penggubah karya-karya sastera Arab dan bukan Arab selama berabad-abad lamanya. Al-Qur`an diturunkan oleh Allah dalam bahasa Arab yang sangat indah. Ia memiliki nilai seni sastera yang sangat bermutu lagi tinggi.
Orang-orang Arab yang berkeahlian dalam bidang sastera dan kritikan mengakui tentang ketinggian mutu sastera yang dikandunginya, (Ismail Hamid, l990: 14). Al-Qur’an kitab yang diturunkan menerusi Jibril kepada Nabi Muhammad Saw. mengandungi pelbagai hal perundangan dan petunjuk. Ianya juga banyak mengandungi isyarat-isyarat tentang ilmu pengetahuan yang amat luas dan dalam. Isyarat-isyarat itu kata orang Arab bagaikan lautan yang tiada bertepi.
Bahasa Al-Qur`an mengandungi susunan kalimat serta ayat yang sempurna. Jalinan kata dan prasanya menggugah dan menawan hati. Ia memiliki kelebihan berbanding dengan bahasa-bahasa yang lainnya. Kelebihan yang dimilikinya sungguh jitu, ia menyimpan seribu satu rahsia. Namun walaubagaimana pun kelebihannya, keindahannya serta kejituannya, rahsia-rahsianya mesti dikaji dan dirungkai satu demi satu.
Surat Al-Fatihah, sebagai salah satu contoh surah di dalam al-Qur`an, mempunyai 7 ayat. Ayat-ayat dalam surah al-Fatihah mengandungi isyarat ilmu pengetahuan dan kami jadikan bahagian kedua daripada ilmu pengetahuan itu ialah ilmu akhlak. Ini kerana petunjuk kepada jalan yang lurus, dan sesudahnya adalah bertujuan untuk mendidik jiwa ataupun rohani, ( Thanthawi Jauhari; tt:109).[3]
2. Jumlah Ismiyah (ayat nominal) Pada Surah Al-Fatihah.
Surah al-Fatihah sebagai surah pembuka atau pemula daripada al-Qur’an, disebut juga dengan Ummul Quran. Salah satu daripada ayatnya ialah ayat ke empat yang terdiri daripada jumlah ismiyah atau ayat nominal.
Ayat ke empat daripada surah al-Fatihah, dimulai dengan kata obyek; iaitu, dua kata iyyaka.
Oleh itu ayat ini berbentuk jumlah ismiyah (ayat nominal), bukan berbentuk jumlah filiah (ayat verbal).
Jumlah ismiyah (ayat nominal) dalam bahasa Arab, dibentuk dengan dua cara. Pertama dengan memulai ayat dengan kata isim atau kata benda, ( Ahmad Salaby, 1985:31), kedua dengan memulai ayat dengan mendahulukan kata obyeknya; iaitu, sebelum subyek dan predikat. Oleh itu ayat nominal ialah ayat yang dibena dengan meletakkan kata benda di awal daripada subyek dan predikatnya, atau mendahulukan obyeknya daripada subyek dan predikatnya.
Obyek atau maful dalam ayat ke-4 surah ini terdiri daripada isim (kata benda); iaitu, yang mendahuli subyek dan predikatnya, oleh sebab itulah dinamakan dengan jumlah ismiyah atau ayat nominal.
Ayat nominal seperti dalam surah al-Fatihah ayat ke empat; jarang dijumpai dalam bahasa Arab walaupun ianya lazim berlaku. Oleh itu apa yang berlaku atau yang terdapat pada surah al-Fatihah ini menjadi satu issu tanda tanya. “Kenapa kalimat atau ayat ini dibentuk dengan jumlah ismiyah (ayat nominal) bukan dengan jumlah fi’liyah (ayat verbal)”. Mengapa ia memunculkan kata yang menjadi obyeknya di awal bukan di belakang supaya jadi ayat verbal (kata kerja). Apa yang menjadi penyebab dan rahsia yang tersembunyi di sebalik ayat nominal ini.
Sebenarnya, ayat ini boleh disusun (dibena) semula dengan ayat verbal; iaitu, dengan memulai ayat dengan kata na`budu (kata kerja) baru kemudian disusuli dengan kata iyyaka. Akan tetapi apabila ini dilakukan, ianya diyakini akan mendatangkan pengertian yang akan memunculkan makna lain. Sebab susunan ayat al-Qur`an adalah susunan ayat-ayat yang paling sempurna, banyak yang mengandungi rahsia.
3. Ayat Nominal dan Ayat Verbal Dalam Bahasa Arab.
Dalam struktur tata bahasa Arab ada dua macam ayat; iatu, ayat nominal dan ayat verbal. Masing-masing daripada kedua-dua bentuk ayat tersebut mempunyai fungsi yang berbeza-beza sesuai dengan kedudukannya, (Ichwan,2002:63).
Kaedah yang berlaku dalam pembentukan ayat nominal dalam bahasa Arab ialah mesti bersesuaian antara subyek, predikat dan obyeknya; sama ada ia daripada segi jenis mahupun bilangannya, (ibid). Ini maknanya ialah apabila subyeknya lelaki, maka predikat dan obyeknya juga mesti lelaki. Begitu juga daripada segi jumlahnya; iaitu, apabila subyeknya satu, maka predikatnya juga mesti satu, apabila subyeknya berbentuk dua, maka bentuk predikat dan obyeknya juga mesti bentuk dua, begitu juga kalau jamak, maka predikat dan obyeknya mesti dengan jamak.
Salah satu daripada dua bentuk ayat nominal dalam bahasa Arab ialah yang dimulai dengan kata obyek sebelum disusuli oleh subjek dan predikatnya. Akan tetapi daripada segi pengertian, antara susunan ayat nominal dengan susunan ayat verbal tidak sama. Ertinya, makna yang dimunculkan oleh kedua-dua ayat ini sangat berbeza.
Ayat nominal mengandungi makna yang lebih kuat atau lebih muktamad berbading dengan makna yang dimunculkan oleh ayat verbal. Ini walaupun sebenarnya kedua-dua ayat ini memiliki pengertian dasar yang sama, akan tetapi mengandungi makna hakikat yang jauh berbeza.
Ini sebab, satu ayat dimulakan dengan kata obyek (nominal) dan satu ayat lagi dengan kata kerja (verbal). Akhdori, (1989:92) berkata bahawa mendahulukan kata obyek daripada subyek dan predikat dalam bahasa Arab kerana hal itu dianggap sangat penting (lit-takhsis). Ini maksudnya ada sesuatu yang sangat dipentingkan dan diutamakan. Tanpa hal ini , ayat itu mesti dibena dengan ayat verbal. As-Suyuthi, (1996:199) pula mengatakan bahawa lafaz isim (kata benda) memunculkan erti yang sudah tetap (tsubut) dan berterusan (istimror), manakala lafaz fi`il (kata benda) memunculkan erti yang timbul tenggelam (tajaddud ) dan temporer (huduts). Ini maknanya ialah boleh berubah-ubah, tidak tetap. Maksudnya begini; kita ambil contoh (untuk mendekatkan kefahaman); iaitu, tentang harga. ”Apabila kita umpamakan ayat nominal itu adalah harga, maka harga ayat nominal itu adalah harga yang muktamad (harga mati, tetap, pasti) tidak dapat ditawar lagi. Manakala ayat verbal adalah harga penawaran, ia masih boleh ditawar belum harga mati”.
Sebagai contoh al-Qur`an surah al-Hujrat: 15, terdapat lafaz al-mu`minun (orang-orang yang beriman). Ayat tersebut diungkapkan dengan menggunakan bentuk kata benda (isim). Ini menunjukkan bahawa keimanan merupakan yang sifatnya tetap dan terus menerus, (al-Qohthan, tt:206), sebagaimana halnya ketaqwaan dan kesabaran. Oleh itu penggunaan kata benda; iaitu, al-mu`minun pada ayat tersebut menunjukkan bahawa keimanan tidak terjadi secara temporer; maksudnya, saat ini ia beriman, esok menjadi kafir dan begitulah seterusnya. Akan tetapi seseorang itu dikatakan beriman apabila sentiasa hatinya tetap dipenuhi dengan rasa iman, (Ichwan, 2002:67).
4. Fungsi Ayat Nominal Surah al-Fatihah dan Hubungkaitnya Dengan Tauhid.
Perbincangan surah al-Fatihah ayat keempat di atas daripada sudut atau kaedah tatabahasa Arab sedikit sebanyak telah dapat menyuluh dan merungkai apa yang tersebunyi pada ayat nominal tersebut. Ia satu ayat yang mengandungi isyarat tentang aqidah (tauhid); iaitu, yang berhubung kait dengan Allah. Ertinya, ayat itu mengandungi maksud dan isyarat yang hanya kepada Allah sahaja-lah tujuan penyembahan (ibadah) dan tujuan meminta pertolongan, tidak ada pada yang lain-lain selain kepada Allah Swt.
Ayat tersebut apabila diterjemahkan dengan lengkap ialah seperti: Hanya kepadaMu kami menyembah dan hanya kepadaMu kami minta pertolongan. Ini terjemahan erti yang dimunculkan oleh ayat yang dibena dengan ayat nominal. Erti yang dimunculkan oleh kata “hanya kepadaMu”, ialah “semata-mata”, tidak ada yang lain; iaitu, pasti, tetap dan muktamad. Akan tetapi apabila ayat tersebut dibena dengan ayat verbal, maka terjemahan ertinya ialah seperti: Kami menyembah kepadaMu dan kami meminta pertolongan kepadaMu. Terjemahan seperti ini (ayat verbal) boleh memunculkan suatu pengertian yang tidak tetap dan tidak muktamad. Ianya masih memberikan ruang, masa dan isyarat seolah-olah boleh lagi kepada yang lain. Iaitu, satu isyarat tidak langsung yang seolah-olah masih boleh lagi menyembah (beribadah) dan meminta pertolongan selain kepada Allah Swt.
Apabila erti inilah yang dimunculkan dengan membena ayat verbal tersebut, maka di sini telah terjadi satu kesilapan besar. Ianya boleh membawa kepada syirik. Sebab ianya mengisyaratkan satu isyarat walaupun tidak langsung, seolah-olah masih ada tujuan beribadah dan meminta pertolongan selain kepada Allah Swt. Manakala tuntutan hakiki daripada ayat itu adalah hanyalah semata-mata kepada Allah.
Oleh itu, ayat ini mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan aqidah yang mesti diimani dan diyakini setiap peribadi muslim. Jadi apabila ada sesiapa yang membaca ayat ini dengan mendahulukan kata kerjanya; iaitu, subyek, predikatnya baru disusulinya dengan obyeknya, maka ianya telah mengisyaratkan satu kesyirikan.
5. Penutup.
Sesungguhnya ayat al-Qur`an itu amatlah sempurnanya. Ianya banyak menyimpan khazanah ilmu pengetahuan yang sangat dalam. Ia juga bagaikan lautan ilmu yang tiada bertepi. Fungsi ayat ismiyah atau ayat nominal pada surah al-Fatihah adalah mengutamakan kepentingan makna ayat yang tetap (tsubut) dan berterusan (istimror), bukan makna atau erti yang timbul tenggelam (tajaddud) dan temporer (hudust). Ia juga mengandungi isyarat tentang aqidah yang muktamad. Oleh sebab itu ayat tersebut tidak boleh dibena dengan ayat verbal.
Sekian.
BIBLIOGRAFI.
Ahmad Salaby, (1985). Qawaid Al-Lugatul Arabiyah. Misriyah :Maktabah Al-Nahdoh.
Al-Qaththan, Manna, (tt). Mabahis fi Ulum al-Qur`an. Riyadh: Mansyurat al-Ashr al-Hadis.
Al-Syuyuthi, Jalal al-Din, al-Syafii, (1996). Al-Itqan fi Ulum al-Qur`an. (jil. II). Beirut: Muassah al-Kutub al-Tsaqafiyah.
Imam Akhdhori, (1989). Jauhar Al-Maknun. (Terj. Moch. Anwar). Bandung: Al-Ma`arif.
Ibnu Malik al-Andalusy & Syekh Muhammad bin Abdullah, (1990). Tarjamah Matan Al-fiyah. (terj. Moch.Anwar) Jakarta: PT.Al-Ma`arif.
Ismail Hamid, (l990). Asas Kesusasteraan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nor Ichwan, (2002). Memahami Bahasa Al-Qur`an. Semarang, Pustaka Pelajar.
Thanthawi Jauhari, ( tt:). Butir-Butir Mutiara Surah al-Fatihah.). Surabaya: Al-Ikhlas

[1] Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia. Mendapat Ijazah Doktor Falsafah Bidang Linguistik (BATI) daripada Universiti Sains Malaysia, thn 2004.
[2] . Kertas kerja ini telah dibentangkan pada Persidangan Islam Hadari UKM (2007) dan telah dimuat dalam Jurnal Bahasa Brunei Darussalam.